KUCHING: Sebanyak 49,811 ketua isi rumah (KIR) daripada sejumlah 472,923 atau 10.5 peratus sudah menerima bantuan makanan menerusi pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 setakat semalam.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pengagihan itu dilakukan di semua 12 bahagian di negeri ini.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mensasarkan pengagihan bantuan makanan kepada semua KIR itu siap pada 11 Jun ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran bantuan makanan kepada KIR yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan sejumlah RM35.5 juta untuk tujuan itu di bawah pakej BKSS 6.0 susulan PKP 3.0 mulai 29 Mei hingga 14 Jun ini untuk menangani pandemik Covid-19.
Keseluruhannya, beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion di bawah pakej BKSS 6.0 untuk membantu rakyat serta pelbagai sektor lain dalam tempoh pandemik yang mencabar ini.
Beliau berkata, di bawah pakej bantuan makanan itu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima peruntukan minima RM250,000 dan bantuan makanan itu diagihkan kepada KIR terutama kumpulan B40.
Ketua Menteri sehubungan itu menzahirkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pengagihan yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, jawatankuasa pengurusan bencana bahagian, majlis tempatan, ketua masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan terlibat atas kejayaan menagihkan bantuan itu di kawasan terjejas mengikut jadual.
Kawasan DUN Asajaya, Sadong Jaya dan Pelawan adalah antara yang berjaya mengagihkan bantuan makanan itu 100 peratus, manakala DUN Batang Ai 60%, Murum (55%), Pending, Batun Lintang dan Kota Sentoasa (45%), Nangka (42%), Dudong dan Tamin (40%).
Kawasan DUN yang memiliki lebih 10,000 KIR ialah Mambong, Muara Tuang, Samalaju,Lambir dan Senadin.
Sumber dari : Jiwa Bakti